25.3.10

Izwan mengunci pintu bilik. Hanya dia seorang di rumah, yang lain sudah ke Kajang memeriahkan meja snooker di sana. Lampu bilik di padam dan dia memetik suis kipas berpusing sederhana. Asap rokok memenuhi ruang bercampur dengan pelbagai bau yang tersedia di bilik itu. Jari memasang CD, kompilasi lagu-lagu terbaik kumpulan Search yang tersedia di perakam itu. Perlahan berkumandang memecah keheningan bilik. Izwan terlentang di tilam dan fikiran yang khayal jauh pergi mengikut alunan lagu-lagu. Jauh mengenangkan Kartini, jauh juga terkenang Mashitah. Membiarkan sahaja batinnya menerawang sehingga ke Fantasia Bulan Madu. Berarak ke Mentari Merah di Ufuk Timur. Terbang jauh ke bintang Kejora.